Tiada Dana Awam Diguna Bayar Hutang 1MDB

PUTRAJAYA: Pengurusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) digesa mengambil perhatian serius berhubung kelewatan menyelesaikan pembayaran kepada firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata sebagai sebuah syarikat, biarlah 1MDB menyelesaikan sendiri masalah pembayaran itu tanpa membabitkan kerajaan.

Beliau berharap, pengurusan syarikat itu serius dan memberi perhatian kerana ia turut membabitkan imej negara.

“Ingin saya tekankan, sehingga kini tiada dana awam digunakan untuk tujuan itu (pembayaran kepada IPIC), melainkan pada masa depan mereka (1MDB) datang berjumpa kita untuk mencari jalan penyelesaian, kita akan putuskan pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Meningkatkan Sumbangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Johari memberi penjelasan itu ketika diminta mengulas kegagalan 1MDB membuat bayaran berjumlah RM2.58 bilion kepada IPIC seperti yang dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian April lalu, yang sepatutnya dijelaskan pada penghujung Julai lalu.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan ketika ini sedang melihat semula beberapa cabaran yang dihadapi industri PKS tempatan sejajar dengan hasrat memperluaskan potensi bidang berkenaan di negara ini.

Antara masalah yang dihadapi sektor itu adalah kekangan tenaga kerja, kekurangan produktiviti dan kesukaran mendapatkan dana serta pembiayaan bagi memperbesarkan perniagaan.

Katanya, kegiatan PKS tahun lalu memberi sumbangan besar kepada negara iaitu sekitar 36.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 65 peratus peluang pekerjaan.

“Kerajaan mengambil perhatian serius bagi memajukan industri ini dan dalam mesyuarat hari ini, pelbagai pihak memberi cadangan serta pandangan bagi menambah baik potensi PKS pada masa depan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.