Batal Lesen Umrah: 14 Syarikat Terbabit Sejak 2009

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 syarikat pelancongan dan pengendali umrah serta ziarah dibatalkan lesen kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) sejak 2009.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata daripada jumlah itu, 11 syarikat dibatalkan lesen dan satu syarikat ditarik lesen bidang pelancongan luar negara (outbound) setelah didapati melakukan penipuan manakala dua lagi sedang dalam peringkat rayuan.

“Kementerian memang serius dalam memerangi aktiviti penipuan pakej umrah dan ziarah yang mana selain pembatalan lesen, kita juga menarik balik lesen bidang tertentu dan menyenaraihitamkan agensi yang terlibat.

“Bagi tahun ini, notis pembatalan lesen telah dikeluarkan kepada dua buah syarikat yang turut melakukan kesalahan di bawah akta itu dan kita sedang menyiasat beberapa lagi syarikat yang mengendalikan pakej umrah dan ziarah yang bakal berhadapan tindakan sama jika sabit kesalahan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu mengenai tindakan yang diambil kementerian itu terhadap syarikat yang melakukan penipuan pakej umrah. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.