Nurmedina Perlu RM35,000 Untuk Alat Bantuan Pernafasan

KUALA LUMPUR – Meskipun kedua-duanya bekerja, sepasang suami isteri kini buntu memikirkan dana bagi memperoleh alat bantuan pernafasan demi kelangsungan hidup puteri kedua mereka yang menderita jangkitan kuman Adenovirus di paru-paru.

Nur Atiqqka Amran, 29,ibu kepada Nurmedina Saffiyya Faizol, berusia setahun lima bulan, berkata, kos berjumlah RM35,000 diperlukan untuk membeli mesin ‘bipap stellar’ yang perlu dipakai anaknya sepanjang masa.

Menurutnya, kini Nurmedina ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Mei lalu dan tidak dibenarkan pulang sehingga dia memperoleh mesin berkenaan.

“Saya bekerja dan suami juga namun untuk sediakan RM35,000 memang di luar kemampuan kami. Nurmedina juga kini bergantung dengan susu khas yang memerlukan belanja amat besar setiap bulan.

“Anak pertama kami juga masih menyusu. Jadi sukar untuk kami sediakan sejumlah wang yang begitu banyak dalam tempoh terdekat. Untuk memohon bantuan agensi berkaitan pula tidak layak,”katanya kepada Sinar Harian.

Nur Atiqqka berkata, suaminya Faizol Tunis, 30, merupakan anggota tentera dan masih menunggu maklum balas permohonan bantuan untuk Nurmedina.

“Jadi saya cuba ikhtiar bantuan lain untuk bantu tampung dana yang diperlukan,” katanya.

Sebarang sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun Maybank (164212341242) atas nama Faizol Bin Yunos atau hubungi talian 0126461208. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.