Ateis: JAWI Pantau Penglibatan Umat Islam

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memantau dan menyiasat jika terdapat kumpulan umat Islam terlibat dalam perhimpunan gerakan ateis menerusi Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur, yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

Pengarah JAWI Abdul Aziz Jusoh, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sentiasa memantau bukan sahaja golongan ateis, malah semua kumpulan yang mempunyai kecenderungan melanggar undang-undang sah sedia ada, di samping mengharapkan aduan awam bagi mengekang kegiatan ini daripada berleluasa.

“JAWI turut merancang beberapa pelan tindakan untuk menangani isu itu secara keseluruhan dengan berhemah. Justeru, pendekatan bagi memahami punca, merawat serta menyediakan solusi kepada masalah ini akan diberi fokus utama dalam menanganinya,”katanya merujuk laporan media berhubung perhimpunan kumpulan ateis di ibu negara baru-baru ini.

Ateis merujuk kepada individu yang tidak percaya kewujudan tuhan serta tidak mempunyai pegangan agama. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mahu pihak berkuasa khususnya Majlis Agama Islam memburu kumpulan ateis bagi memperbetulkan akidah mereka jika ia membabitkan orang Islam.

Abdul Aziz berkata JAWI sentiasa membuka ruang untuk semua pihak yang ingin mendapatkan maklumat berhubung agama Islam untuk hadir dan berdiskusi mengenainya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.