Haji: Elak Terdedah Lama Di Kawasan Terbuka

JEDDAH – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya banyak minum air, elak terdedah terlalu lama di kawasan terbuka serta mendapatkan rehat secukupnya berikutan perubahan cuaca sehingga kadang kala mencecah 43 darjah celsius di Tanah Suci Makkah.

Pegawai Perubatan Jeddah 1438 Hijrah, Dr Mohd Rohisham Zainal Abidin berkata peringatan itu penting bagi memastikan jemaah haji berada dalam keadaan sihat dan boleh melaksanakan ibadah dengan selesa.

“Semasa kursus bersiri haji di tanah air juga sudah diberikan taklimat modul pendidikan kesihatan kepada jemaah tentang cuaca dan keadaan di sini (Tanah Suci).

“Kita juga tidak galakkan jemaah berada di luar maktab penginapan dan berada terlalu lama di kawasan lapang atau terdedah kepada cuaca panas terik kerana boleh menyebabkan strok haba atau dehidrasi,” katanya kepada pemberita di Pusat Operasi Jeddah di sini.

Portal Saudi Gazette pada 8 Ogos lepas, melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah mewujudkan pusat pencegahan strok haba yang canggih di Mina dengan menyediakan pelbagai kemudahan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.