Pelajar Mati Lemas Dalam Longkang

CHUKAI: Seorang pelajar sebuah institut latihan perindustrian (ILP) mati lemas selepas tergelincir ke dalam longkang monsun di Geliga Che Akob, dekat sini, tengah malam tadi.

Mayat mangsa, Che Mohammad Sayuti Che Jusoh, 20, yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan Dungun ditemui pada kira-kira jam 1 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam, mangsa bersama rakannya, Mohd Syafiq Yusni, 21, dikatakan memancing di longkang besar terbabit.

Mangsa yang berdiri di tepi longkang dikatakan tergelincir ketika sedang menguraikan tali pancingnya yang kusut.

Ketua Balai Bomba Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Yahaya Hanapi, berkata 11 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya,  pasukan Bomba menggunakan khidmat Pasukan Penyelamat Di Air (PPPDA) untuk membuat selaman.

“Mangsa ditemui pada kedudukan empat meter di dasar longkang.

“Mangsa dibawa naik dan disahkan sudah meninggal dunia. Jenazahnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.