Jangan Buat Rakyat Bermusuh – Sultan Kedah

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mengingatkan pemimpin politik dan masyarakat supaya mengelak daripada mewujudkan suasana tidak harmoni yang boleh mencetuskan permusuhan sesama umat Islam.

Baginda yang menzahirkan rasa dukacita atas perkara itu bertitah, sikap terbabit boleh menghangatkan permusuhan dan polemik sesama rakyat negara ini, terutama dalam media sosial.

“Dalam era terkini, pelbagai maklumat diperoleh dengan bebas tanpa ada sistem tapisan yang boleh membezakan antara hak atau yang batil.

“Akibat tindakan demikian, fitnah dan cerita palsu menjadi viral dan dijaja serata tempat. Ia menjadi virus yang memporak-perandakan dan mengelirukan rakyat, memecah-belah dan mengucar-kacirkan ukhuwah yang selama ini terjalin indah.

“Sikap terbabit juga berlaku dalam kalangan ilmuwan agama yang tidak terkecuali turut mengeluarkan fatwa, tuduh menuduh dan berdebat di ruang maya sehingga masyarakat sendiri berbelah bagi,” titah baginda.

Baginda bertitah sempena istiadat perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN yang ke 13 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Raja Puan Muda Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff, berkenan hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sultan Abdul Halim bertitah, maklumat dalam abad ke-21 bergerak pantas dan penggunaan gajet sudah menjadi budaya hidup dalam kalangan lebih 17 juta penduduk yang mempunyai akses ruang maya, dengan separuh daripadanya mempunyai akaun laman sosial.

“Janganlah kerana perbezaan ideologi yang sempit atau kepentingan diri, isu sensitif seperti kemuliaan agama Islam, Kedaulatan Raja-Raja, Hak Istimewa Bumiputera dan hukum-hakam diperdebatkan secara tidak beradab di laman sosial.

“Tindakan terbabit boleh mengundang tafsiran negatif. Kita harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan jujur, mempertahankan integriti dan mengurangkan polemik yang tidak berfaedah,” titah baginda. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.