Tinjauan hari ini mendapati terdapat pelekat khas notis penyitaan diletakkan di beberapa kawasan pengumpulan bauksit.

Dalam notis tersebut me­minta semua stokpile dan bauksit yang disita tidak membenarkan mana-mana pihak mengalih, mengangkut atau memindahkan bahan tersebut tanpa kebenaran SPRM.

Tinjauan turut mendapati tiada sebarang kerja-kerja me­ngangkut bauksit dilakukan di kawasan sekitar malah suasana cukup lengang.

Sementara itu, Pengerusi Ge­rakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman menyifatkan tindakan SPRM menyita stokpile itu adalah satu langkah tepat bagi mengatasi masalah aktiviti perlombongan bauksit yang berleluasa meskipun tempoh moratorium berjalan.

Menurutnya, tindakan berani agensi terbabit membuktikan kewujudan kegiatan korek dan angkut bauksit secara haram di kawasan perlombongan bahan mineral itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada SPRM kerana telus dalam menjalankan siasatan terhadap isu ini dan ia bertepatan apa yang diperjuangkan Geram iaitu mahu membanteras aktiviti perlombongan bauksit haram.

“Kita harap perkara ini dilakukan secara telus dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) perlu memantau segala permit eksport khas (AP) yang dikeluarkan olehnya dengan mengehadkan jumlah ekspot,” katanya.

Jelasnya, sekiranya AP dipantau, Geram percaya aktiviti eksport bahan mineral terbabit dapat dihadkan dan pengusaha bauksit akan lebih takut untuk melakukan akiviti perlombong­an secara haram.

Selain itu, Ali Akbar berkata, moratorium yang diperkenalkan oleh kerajaan dilihat berkesan dalam usaha mengesan dalang di sebalik aktiviti tersebut.

“Ini kerana kita dapat lihat adakah pengusaha dapat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan memperkemaskan SOP sekiranya mahu aktiviti perlombongan bauksit diteruskan.

Tambahnya, aktiviti secara haram ini berlaku disebabkan kerajaan negeri lambat ber­tin­dak, selain tiada pendeda­han SOP diumumkan bagi mem­boleh­kan warga Kuantan menjadi mata dan telinga pihak kerajaan.

Bagaimanapun, pertubuhan tersebut mengharapkan tindakan bijak daripada kerajaan dalam mengatasi isu bauksit ini selepas SPRM dengan berani menjalankan siasatan terhadap aktiviti terbabit.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Muhamad Zakaria, 45, berkata, dia menyokong seratus peratus tindakan SPRM menjalankan siasatan terhadap stokpile bauksit yang terdapat di kawasan Pelabuhan dan Bukit Goh.

Jelasnya, penduduk setempat hairan kerana aktiviti perlombongan tersebut masih dijalankan meskipun tempoh moratorium sedang berlangsung.

“Hanya penduduk di Felda di sini sahaja yang mengetahui apa yang berlaku dan sememangnya kami boleh mendiamkan diri.

“Tapi bila SPRM bertindak secara telus terbukti memang perlombongan haram berlaku. Kami harapkan pihak yang terlibat diheret kemuka pengadilan,” katanya. – UTUSAN ONLINE