‘Kenapa Susah Sangat Kibar Jalur Gemilang?’

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji syarat pembaharuan lesen bagi mewajibkan pemilik premis di sekitar ibu kota memasang Jalur Gemilang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata ia adalah inisiatif menggalakkan pemilik dan pengurus bangunan memasang bendera kebangsaan di premis mereka.

Katanya, masyarakat kini dilihat liat dan kurang peka untuk memasang bendera walaupun diberi percuma.

“Di luar negara seperti Indonesia, mereka tidak malu memasang dan mengibarkan bendera negara.

“Ini membuktikan semangat cintakan negara dan patriotisme tinggi dalam kalangan mereka walaupun tanpa disuruh memasang bendera,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat bandaraya Kuala Lumpur 2017 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan 1,000 unit Jalur Gemilang daripada 55,000 unit yang diperuntukkan kepada agensi kerajaan, swasta, sekolah, persatuan dan lain-lain sempena bulan kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Mhd Amin berkata, edaran bendera tahun ini meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.