Rabies: Program Vaksin Anjing Di Serian Esok

KUCHING – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengadakan program pemvaksinan anjing untuk mengawal penularan wabak anjing gila atau Rabies di lapan kampung di Bahagian Serian, esok.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata lapan kampung tersebut ialah Kampung Bantang, Kampung Kakeng, Kampung Jenan, Kampung Lanchang, Kampung Labak Tungan, Kampung Riih Daso, Kampung Benat dan Kampung Plaman Nyabet .

Setakat 3 petang tadi, sebanyak 206 ekor anjing divaksin di lapan kampung di Daerah Bau.

“Secara kumulatif, sebanyak 30,511 ekor haiwan kesayangan yang terdiri dari 22,869 ekor anjing, 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin. Sebanyak 34,315 survelan aktif dan 733 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies telah dilakukan oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman,” kata sekretariat itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, sejumlah 181 sampel terdiri daripada 163 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar yang diperoleh daripada Bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri, telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh, Perak untuk ujian virus Rabies.

“Bilangan sampel positif virus Rabies melalui ujian Direct Fluorescent Antibody Test (FAT) masih kekal 33 sampel anjing dan enam sampel kucing daripada 157 keputusan sampel yang diterima institut tersebut,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, sekretariat itu berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 96 kes gigitan baru dilaporkan hari ini iaitu 18 kes di Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman (satu), Bahagian Kuching (74) dan Bahagian Samarahan (tiga).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 73 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing 55 kes dan kucing 18 kes manakala, 23 kes pula melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu, anjing 16 kes, kucing enam kes dan kelawar satu kes.

“Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku mulai 1 April hingga ke hari ini, adalah berjumlah 2,298 kes. Secara kumulatif juga, seramai 922 orang menerima suntikan vaksin anti Rabies,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.