Sasar 50,000, Daftar Cuma 1,088 Pekerja Asing

KOTA KINABALU: Hanya 1,088 pekerja warga asing didaftar majikan masing-masing sepanjang Program Pengajian dan Penempatan Semula Pendatang Tanpa Izin (Rehiring Sabah) 2017 yang dilaksanakan sejak 16 Februari lalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Musa Sulaiman, berkata jumlah itu jauh daripada sasaran iaitu 50,000 pekerja warga asing.

“Program ini dilaksanakan Syarikat Inti Padu Technonoly Sdn Bhd sejak 16 Februari lalu dan setakat ini, hanya dua peratus daripada sasaran kami yang didaftarkan.

“Bagaimanapun, majikan yang belum mendaftar pekerja warga asing mereka menerusi program ini masih boleh berbuat demikian sehingga esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Sabah, di sini, hari ini.

Musa berkata, kegagalan majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka menerusi program Hiring Sabah 2017 ini bakal berdepan tindakan tegas.

“Kita menyediakan platform atau program bagi memudahkan majikan mendaftar pekerja warga asing mereka dan ia sepatutnya dimanfaatkan.

“Bagaimanapun, selepas program ini kita akan melakukan kajian mengapa ia tidak mendapat sambutan seterusnya mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak berkuasa negeri bersetuju melanjutkan had umur pekerja asing sehingga 60 tahun.

“Bagaimanapun, peraturan dan had umur baharu ini tertakluk kepada syarat lain sedia ada pekerja asing terbabit, termasuk lulus pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata, Jabatan Imigresen Sabah melaksanakan 793 operasi bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa izin di negeri ini sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 23,563 pemeriksaan dibuat membabitkan 2,738 tangkapan warga asing.

“Selain itu, kita menahan 60 majikan yang didapati menggaji warga asing secara haram serta melindungi warga asing,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.