Denda Jika Buang Sampah Dalam Sungai

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu melarang rakyat Malaysia daripada membuang sampah ke dalam sungai dengan menguatkuasakan hukuman denda bagi memastikan sungai kekal bersih dan sihat, seorang pakar pengurusan air antarabangsa mencadangkan pada Selasa.

Profesor Roger A Falconer, pensyarah pengurusan air daripada Cardiff University, United Kingdom (UK), berpendapat kaedah itu adalah antara perkara yang boleh ditambah baik oleh Malaysia.

Beliau mencadangkan supaya Malaysia mencontohi kaedah yang dilaksana UK iaitu mendenda semua pesalah itu dengan denda yang tinggi.

“Ramai orang membuang sampah ke dalam sungai. Perkara sama berlaku di negara saya 20 tahun dahulu.

“Sekarang kalau anda buang sampah dan anda ditangkap, anda akan teruk didenda. Seseorang pernah berkata kepada saya, bayaran denda itu sangat tidak berbaloi dengan kesalahan yang dilakukan.

“Seperti juga memandu laju, jika rakyat merasakan mereka akan terlepas, mereka akan pecut tetapi jika mereka fikir mereka mungkin tertangkap dan didakwa, mereka tidak akan memecut. Jadi anda perlu bertegas,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas menghadiri Forum Khas Matlamat Pembangunan Lestari pada Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa Kejuruteraan Hidro-Alam Sekitar dan Penyelidikan (IAHR) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Selasa.

Bagaimanapun, Prof Falconer menyatakan rasa kagumnya dengan pendekatan Malaysia dalam tebatan banjir, yang menurutnya negara ini berada pada landasan betul dan menjadi contoh kepada dunia.

“Dalam pengurusan banjir, banyak yang anda lakukan di sini lebih baik daripada negara lain. Banyak pihak di seluruh dunia patut belajar daripada Malaysia.

“Ketika saya menganjurkan satu majlis beberapa tahun lalu, kami bercakap mengenai bagaimana Malaysia menangani ribut dan hujan lebat. Longkang di sini mempunyai kedalaman satu meter dan longkang kami tidak sedalam itu serta tidak direka untuk menghadapi banjir kilat.

“Terowong Smart dan sungai diurus dengan bagus bagi menghadapi banjir, lebih baik berbanding negara lain,” katanya.

Mengulas mengenai empangan di Malaysia, Persiden Suruhanjaya Antarabangsa bagi Empangan Besar Prof Dr Anton J. Schleiss berkata Malaysia merupakan contoh bagi empangan air pelbagai guna yang dibina dengan pelbagai fungsi seperti perlindungan banjir dan pembekalan tenaga selain untuk bekalan air.

“Anda (Malaysia) sangat bagus berbanding dengan negara lain dan wajar dijadikan contoh,” katanya.

Kongres ini dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa dan berakhir pada 18 Ogos depan.

Diasaskan pada 1935, IAHR adalah organisasi bebas bagi jurutera dan pakar air, bekerja dalam bidang sains alam sekitar-hidro dan yang berkait dengannya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.