Pembelian Hotel Oleh FIC: Isa Beri Keterangan Kepada SPRM

PUTRAJAYA – Bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi memberi keterangan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Beliau dilihat tiba bersama dua orang peguam di perkarangan ibu pejabat SPRM pada kira-kira 2.40 petang, namun hanya Mohd Isa yang memasuki pejabat SPRM.

FIC ialah anak syarikat Felda yang terlibat dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan.

SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada STG60 juta (RM330 juta) pada 16 Dis 2014.

SPRM juga dilaporkan memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching, Sarawak susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.