Beku Aset Isa, SPRM Tunggu Laporan Penuh Siasatan

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunggu laporan penuh siasatan terhadap Tan Sri Isa Samad sebelum memutuskan sama ada perlu membekukan aset bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) itu.

Isa ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel oleh anak syarikat FGV, Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London dan Kuching, Sarawak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, berkata setakat ini proses siasatan terhadap Isa masih berjalan dan perlu menunggu laporan penuh.

“Setakat ini, kita belum tentukan sama ada perlu membekukan semua aset Isa dan bergantung kepada keterangan yang diperoleh.

“Sebaik mendapat laporan penuh daripada pegawai penyiasat, kita akan memutuskan perkara itu,” katanya pada sidang selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah barisan EXCO kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Azam berkata, hingga kini pihaknya sudah merakam lebih 40 keterangan termasuk ahli keluarga Isa bagi melengkapkan siasatan pembelian dua hotel itu.

Pada masa sama, Azam enggan mendedahkan hasil serbuan yang dilakukan di kediaman Isa malam tadi kerana siasatan masih berjalan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.