Gugup, Hilang Fokus Punca Kalah

KUALA LUMPUR: Gugup dan hilang fokus dilihat menjadi punca kekalahan 1-2 pasukan bola sepak wanita Malaysia kepada Filipina dalam aksi sulung mereka di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini, malam tadi.

Ketua jurulatih, Mohd Asyraaf Abdullah berkata, kegagalan menyerap tekanan terutama dalam separuh masa pertama ketika berdepan pasukan di ranking ke-71 dunia itu memberi kesan terhadap corak permainan barisan anak buahnya.

PEMAIN Malaysia, Usliza Usman (kanan) berebut bola dengan pemain Filipina, Lemoran Charisa Marie ketika perlawanan bola sepak Wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium UiTM Shah Alam. – Foto Hairul Anuar Rahim

“Kita menentang pasukan yang sering membuat hantaran jauh, jadi saya mahukan mereka tenang supaya dapat mengawal permainan tetapi kegagalan menyerap tekanan akibat perasaan gugup itu telah menghukum kita.

“Di separuh masa kedua, selepas kita menyamakan kedudukan, pemain pula kelihatan seolah-olah hilang fokus dan gol kedua Filipina itu ternyata mematikan semangat pemain,” katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, kapten pasukan, Patrice Mae San Pedro Impelido meletakkan Filipina di hadapan pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Dadree Rofinus pada minit ke-52.

Namun, sedikit kealpaan di bahagian pertahanan negara dihukum Kathleen Camille Muldong Rodriguez untuk menjaringkan gol kemenangan Filipina pada minit ke-74.

Bagaimanapun, Mohd Asyraaf optimis skuad kendaliannya itu akan bangkit memburu kemenangan ketika berdepan Myanmar esok untuk mencerahkan peluang mencapai sasaran pingat gangsa KL2017.

“Walaupun tewas, sekurang-kurangnya kita mampu memberi saingan kepada Filipina yang telah layak ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 dan kami akan berjuang bermati-matian pada perlawanan esok,” katanya.

Selepas berdepan Myanmar, skuad negara akan bertemu juara bertahan Thailand, Ahad ini sebelum menamatkan saingan KL2017 menentang Vietnam pada 24 Ogos.

Kesemua perlawanan membabitkan pasukan negara akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada jam 8.45 malam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.