LCW Harap Sentuhan Ajaib Misbun, Hendrawan

SEPANG: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berharap kombinasi dua jurulatih berpengalaman, Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan mampu membantunya merealisasikan impian meraih gelaran sulung Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland bermula 21 Ogos ini.

Pemain nombor dua dunia itu, berkata kehadiran semula Misbun terutamanya jelas membawa perbezaan dalam persiapannya kali ini dan dia berasa yakin kombinasi ‘sifunya’ itu dengan Hendrawan mampu mencetuskan impak yang positif buat dirinya.

“Sudah pasti kehadiran dua jurulatih bersama saya kali ini akan meningkatkan lagi keyakinan saya terutama Misbun. Ada perbezaan sejak kehadiran semula Misbun dalam persiapan saya kali ini terutamanya dari aspek taktikal.

“Apa pun, apa yang penting sekarang adalah fokus terhadap baki persiapan sebelum kejohanan bermula.

“Kami tiba lebih kurang lima hari awal dan diharapkan ia dapat membantu kami menyesuaikan diri dengan keadaan di Glasgow nanti,” kata Chong Wei ketika ditemui sebelum berlepas ke Glasgow di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Chong Wei, 35, yang diletakkan sebagai pilihan kedua berdepan laluan sukar dalam misinya memburu gelaran juara dunia pertama dengan dia dijangka bertemu juara Olimpik Rio 2016, Chen Long di peringkat suku akhir.

Malah, dia sebelum itu perlu berdepan seorang lagi pemain China, Tian Houwei di pusingan ketiga .

Jika berjaya melepasi halangan dua pemain lawan itu, Chong Wei dijangka bertemu pilihan ketiga dari Denmark, Viktor Axelsen di separuh akhir sebelum musuh tradisinya Lin Dan menanti di pentas final.

“Siapa yang menjadi lawan sudah diketahui dan saya bersama jurulatih akan berbincang mengenai cara terbaik bagi mengatasi setiap lawan saya. Apa yang penting sekarang adalah fokus kepada persiapan dan mental perlu kuat,” katanya.

Sebagai rekod, Chong Wei tiga kali bergelar naib juara dunia pada 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.

Lin Dan dua kali menjadi pemusnah kepada impian Chong Wei untuk menjadi juara dunia apabila dia tewas di final 2011 dan 2013 manakala 2015 jaguh negara itu terpaksa akur di tangan Chen Long. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.