Najib Lancar PPR Ampar Tenang Di Dengkil

SEPANG – Program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil di sini bakal siap pada 2019 bagi menempatkan 400 keluarga bekas pekerja ladang yang berdepan masalah memiliki rumah sejak 1996 kerana memberi laluan kepada pembangunan pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembinaan projek perumahan itu itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil maklum mengenai perit jerih perjuangan mereka yang berkorban demi pembangunan negara.

Pembinaan 400 unit rumah teres setingkat itu dijangka siap pada Julai 2019 bagi menggantikan Rumah Kos Rendah Taman Permata, Dengkil yang kini menjadi kediaman kepada bekas pekerja Ladang Perang Besar, Madingly, Galloway dan Sedgely yang berkorban meninggalkan tanah ladang tersebut bagi membuka laluan kepada pembangunan Putrajaya.

“Tanpa empat ladang tersebut dan pengorbanan oleh 400 keluarga terlibat, tidak akan wujud Putrajaya seperti yang ada hari ini,” kata beliau pada majlis pecah tanah projek PPR Ampar Tenang bernilai RM60 juta di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa setiap unit itu akan dijual pada harga RM20,000 berbanding kos asal RM150,000 seunit.

“Ini bermakna kerajaan memberi subsidi sebanyak RM130,000 seunit, satu keputusan atau tindakan yang tidak ditandingi mana-mana pihak,” kata beliau.

Najib turut mengumumkan bahawa 216 pekerja ladang yang telah melangsaikan bayaran RM20,000 bagi Rumah Kos Rendah Taman Permata yang didiami ketika ini, akan dapat memiliki rumah PPR itu tanpa sebarang bayaran.

Beliau berkata pembinaan PPR itu merupakan manifestasi usaha kerajaan membantu masyarakat dan juga membuktikan kerajaan BN tidak memungkiri janji.

Sebelum ini, penduduk Rumah Kos Rendah Taman Permata berdepan masalah keretakan teruk pada struktur kediaman mereka dipercayai akibat tanah mendap. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.