Pasangan Diraja Ziarah Makam Diraja Johor

JOHOR BAHRU: Pasangan pengantin baharu Diraja Johor, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami, Dennis Muhammad Abdullah, menziarahi Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini, pagi tadi.

Ia adalah program sempena Istiadat Perkahwinan pasangan itu yang berlangsung kelmarin.

Kenyataan Royal Press Office (RPO) di sini, hari ini, memaklumkan pasangan Diraja Johor yang mengenakan busana Baju Kurung dan Baju Melayu serba putih itu tiba di perkarangan makam pada jam 9 pagi tadi.

Tunku Aminah dan Dennis Muhammad meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melawat pusara kerabat keluarga Diraja Johor, termasuk menziarah pusara Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Pasangan Diraja Johor itu turut mengaminkan doa yang diketuai Mufti Johor, Datuk M Tahrir Samsudin dan menyiram air mawar serta menabur bunga pada setiap makam.

Kenyataan itu turut memberitahu istiadat menziarahi Makam Diraja adalah istiadat yang terakhir bagi Istiadat Perkahwinan Diraja Johor yang bermula pada 8 Ogos yang lalu.

Kelmarin, pasangan Diraja itu selamat diijab kabul dengan sekali lafaz dalam Bahasa Melayu pada Istiadat Akad Nikah di Istana Bukit Serene di sini sebelum diteruskan dengan Istiadat Persandingan pada sebelah malam di Istana Besar, dekat sini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.