Usah Jatuh Hukum Tanpa Usul Periksa

KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Shahz tertekan apabila banyak pihak menyalahkan dirinya sebagai punca keretakan rumah tangga bersama bekas isteri, Fatin Afeefa, 22.

Adam berkata, masyarakat tidak wajar meletakkan hukuman kepadanya hanya kerana insiden dia tersilap membalas mesej seorang wanita yang dikatakan menjadi punca rumah tangganya bergoyah, suatu ketika dulu.

“Pelbagai mesej diterima melalui media sosial yang menyalahkan saya apabila perceraian berlaku. Mereka tidak tahu situasi sebenar. Saya harap spekulasi mengenai punca perceraian kami dihentikan kerana ia memberi kesan kepada saya dan bekas isteri.

“Ia terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum. Sehubungan itu, saya memohon kepada semua agar tidak meletakkan hukum seakan-akan saya saja yang bersalah.

“Banyak pihak yang perlu dijaga dalam perkara ini, jadi saya tidak mahu ada yang salah faham dengan kenyataan ini,” katanya kepada BH Online.

Adam, 35, mengesahkan dirinya sudah menceraikan Fatin dengan talak satu di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, pada 30 Mei lalu.

Adam memberitahu, Fatin memfailkan perceraian pada 15 Mei lalu selepas mendakwa mereka sudah tidak lagi ada persefahaman sebagai suami isteri

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin atau nama penuhnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin, pada 21 Disember 2013.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian yang berusia empat tahun dan Ivy Herra Sophia, dua tahun. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.