Filipina Kekal Anjur Sukan SEA 2019

KUALA LUMPUR: Filipina akan menjadi tuan rumah Sukan SEA akan datang pada 2019 seperti dijadualkan selepas kerajaannya menimbangkan semula keputusan awalnya untuk tidak menganjurkan acara itu berikutan krisis dalaman di wilayah selatan Mindanao, menurut beberapa laporan media Filipina.

Keputusan untuk meneruskan penganjuran edisi ke-30 sukan dwitahunan serantau itu akan diputuskan pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di sini esok, menjelang pembukaan edisi ke-29.

Media Filipina memetik Setiausaha Luar negara itu, Alan Peter Cayetano dan Majlis Olimpik Filipina (POC) mengesahkan Filipina akan mengotakan komitmennya menganjurkan sukan serantau itu selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2005 setelah berunding dengan kerajaan.

Pada edisi 2005, Filipina muncul sebagai juara keseluruhan buat kali pertama dengan mengutip 113 pingat emas.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Low Beng Choo berkata, SEAGF akan mendengar sendiri mengenai isu berkenaan daripada Presiden POC, Jose Cojuangco Jr pada mesyuarat itu.

“Beliau telah meminta kami untuk memberi peluang kepada mereka. Setakat ini, POC tidak memberikan kami sebarang notis rasmi bahawa mereka mengundur diri daripada menjadi tuan rumah sukan itu.

“Kami akan membantu mereka di mana yang mana kami mampu. Thailand sedia menjadi tuan rumah pengganti jika diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peraturan dan Sukan SEAGF.

Sementara itu, Low berkata, dalam mesyuarat itu Vietnam telah meminta supaya acara 3,000 meter lari berhalangan wanita dimasukkan semula dan mereka diberitahu acara itu digugurkan kerana kurang sambutan dari negara peserta. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.