Tiada Cuaca Ekstrim Sehingga Akhir Bulan – MMD

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) meramalkan cuaca lembap ketika ini akan mula berkurangan mulai esok selain menjangkakan tidak berlaku sebarang cuaca ekstrim sehingga hujung bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari, berkata untuk tempoh terdekat ini, pihaknya juga menjangkakan tidak berlaku keadaan cuaca luar jangkaan.

Beliau berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan banjir di beberapa negeri berpunca daripada penumpuan angin barat laut dari Lautan Hindi yang membawa lembapan terus ke negara ini.

Katanya, hujan lebat di beberapa bahagian di Sabah adalah disebabkan oleh penumpuan angin dari Laut China Selatan serta faktor kelembapan udara tinggi dan perolakan aktif yang menyebabkan pembentukan awan ribut petir.

“Negara masih berada dalam Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga bulan depan. Lazimnya dalam tempoh ini, negara akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan berbanding dengan hari hujan,” katanya hari ini.

Beliau mengulas keadaan cuaca ketika ini yang menyebabkan banjir di Melaka, Sarawak dan Sabah akibat hujan lebat.

Ditanya kemungkinan berlaku banjir lebih awal, Alui berkata, banjir biasanya berlaku pada musim tengkujuh iaitu antara November hingga Januari setiap tahun dan taburan hujan dijangka dalam julat purata yang boleh menyebabkan banjir di kawasan yang rendah.

Maklumat cuaca terkini termasuk ramalan cuaca tujuh hari ke hadapan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi jabatan di www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, Facebook:malaysiamet, twitter:@malaysiamet atau MetMalaysia Hotline di talian 1 300 22 1MET(638). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.