98 Pendatang Tanpa Izin Ditahan

PASIR GUDANG: Seramai 96 pendatang tanpa izin (PATI) termasuk 11 wanita ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen negeri di kawasan penempatan haram, Taman Kota Masai, di sini, malam tadi.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Muhammad Hafiz Khamis, berkata dalam serbuan bermula jam 1.30 pagi itu, pihaknya memeriksa 291 orang termasuk 14 wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 60 tahun.

Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya menahan 53 warga Indonesia, Bangladesh (32), Myanmar (lapan) dan tiga Vietnam selepas didapati menetap melebihi tempoh, selain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhammad Hafiz berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen di Setia Tropika, dekat sini dan akan ditahan reman bagi nembolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tiada dokumen perjalanan sah.

Operasi bersepadu itu disertai 50 pegawai Jabatan Imigresen negeri, selain 140 pegawai dan anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.