Era FM, Kenapa Tak Mainkan Lagu Siti Nurhaliza?

PERMINTAAN penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerusi laman sosial Twitter supaya stesen radio ERA fm memutarkan lagu baharunya mendapat perhatian netizen.

Perkara itu berikutan lagu baharu berkenaan berjudul Segala Perasaan masih belum dimainkan biarpun sudah dilancarkan secara rasmi pada April lalu.

“@ERA_fm , Salam hormat kepada seluruh warga kerja Era. Saya nak buat permintaan lagu Segala Perasaan. Budi baik kalian, saya & Sitizoners hargai,” tulisnya pada Khamis.

Status tersebut mendapat lebih 100 kali ulang siar (repost) daripada peminat-peminatnya iaitu Siti Zoners.

 

Status Siti Nurhaliza turut mendapat jawapan daripada ERA Fm.

Bagaimanapun, Stesen radio berkenaan kemudian membalas permintaan dengan meminta peminat-peminat penyanyi itu terus membuat permintaan lagu tersebut.

“Terima kasih Dato. Lagu Segala Perasaan masih dlm Carta Lagu Baru Nak Up. Sitizoners perlu teruskan meminta lagu ini & mengundi di era.fm :),” tulisnya.

Sementara itu, jawapan yang diberikan stesen radio itu dianggap tidak adil berikutan lagu-lagu artis baharu dikatakan lebih mendapat perhatian berbanding lagu penyanyi kesayangan mereka.

 

Komen peminat yang marah lagu Segala Perasaan belum dimainkan di radio.

Segelintir peminat yang mendakwa sudah melakukan undian dan permintaan sejak Jun lalu namun lagu tersebut masih berada di tempat yang sama.

Lagu Segala Perasaan merupakan lagu ciptaan Ivan Lahardika.

Lagu tersebut termasuk dalam album ke 17 beliau berjudul SimetriSiti.

Isu stesen radio tidak memainkan lagu artis menjadi perbualan sejak sekian lama sehinggakan kebanyakan artis baharu ketika ini menjadikan media sosial seperti YouTube bagi mempromosikan bakat dan karya masing-masing. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.