Skuad Polo Lelaki Akhiri Kemarau Pingat 12 Tahun

KUALA LUMPUR: Skuad polo air kebangsaan mengesahkan penamat podium buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun di temasya Sukan SEA apabila mencatat kemenangan 11-7 ke atas Thailand di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

Ia adalah kemenangan kedua negara dalam saingan itu, selepas menang 8-7 ke atas Filipina pada Rabu lalu.

Anak didik Voon Yong Hui mengesahkan pingat gangsa, dengan berbaki satu perlawanan menentang pasukan handalan Singapura, Ahad ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat – gangsa – adalah di temasya Manila 2005.

PEMAIN Malaysia, Fam Jia Yi (kiri) cuba mendapatkan bola daripada pemain Thailand, Meathus Cheamee ketika pasukan Malaysia menentang pasukan Thailand pada acara polo air lelaki Sukan SEA 2017 di Pusat Akuatik Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – Foto Aizuddin Saad

Fam Jia Yi, Anderson Wong, Toh Yi Xiang dan Tan Yi Xun masing-masing menemui dua kali sasaran, sementara gol lain disempurnakan Irshad Syahir, Soh Yong Wee dan Daryl Khoo.

Jia Yi kini adalah penjaring terbanyak skuad negara dengan keseluruhan tujuh gol.

Dalam satu perlawanan lain hari ini, Singapore dikejutkan apabila terikat 4-4 dengan Indonesia.

“Saya gembira dengan pencapaian ini. Pingat gangsa selepas kemarau12 tahun adalah petanda bahawa skuad lelaki kini semakin meningkat,” kata Yong Hui.

PEMAIN Malaysia, Anderson Wong Yong Hui (kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Thailand, Meathus Cheamee ketika pasukan Malaysia menentang pasukan Thailand pada acara polo air lelaki Sukan SEA 2017 di Pusat Akuatik Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – Foto Aizuddin Saad

“Pemain masih muda, dan saya percaya mereka mempunyai masa depan yang cerah. Bagaimanapun, kami memerlukan lebih banyak sokongan daripada pelbagai pihak.”

Mengenai kemenangan ke atas Thailand, Yong Hui berkata pemain agak gemuruh dan berhati-hati pada suku pertama, yang berakhir 4-4.

“Kami mampu bangkit di suku kedua, ketiga dan keempat dengan permainan yang lebih tersusun.

“Ketika waktu rehat, saya memberitahu pemain supaya bertenang kerana ada banyak masa, dan saya gembira mereka dapat menangani tekanan dengan baik,: kata Yong Hui.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka dapat mengejutkan Singapura Ahad ini.

“Pemain kita semakin meningkat selepas setiap perlawanan, tetapi Singapura berada dalam kelas tersendiri. Kita hanya bole cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu,” katanya.

Sebagai rekod, Singapura tidak pernah tercicir pingat emas dalam polo lelaki sejak sukan itu diperkenalkan di Kuala Lumpur 1965. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.