Aidiladha Kekal Jumaat 1 Sept – KP Jakim

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak keliru terhadap pengumuman tarikh Aidiladha kerana Hari Raya Haji kekal pada 10 Zulhijjah di seluruh Malaysia bersamaan dengan Jumaat, 1 September ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, satu jawatankuasa telah melihat anak bulan pada Selasa dan bermakna 1 Zulhijjah 1438 Hijrah ialah Rabu, 23 Ogos.

Bagaimanapun beliau mendapat laporan setakat ini terdapat kesilapan penyiaran mengenai tarikh pengumuman Hari Raya Haji di dua saluran televisyen.

“Tarikh yang sebenar adalah 10 Zulhijjah pada Jumaat untuk Hari Raya Haji,” katanya kepada mStar Online.

Othman menjelaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) di pihak Jakim berhubung pengumuman tarikh berkenaan adalah betul kerana tiada kesilapan semasa ia diumumkan di saluran RTM.

“Kita perlu melihat semula di mana kesilapan yang berlaku sebab saya difahamkan terdapat dua stesen televisyen yang menyiarkannya, yang lain-lain okay.

“Di pihak Jakim telah mengikut SOP yang betul. Cuma di mana berlaku kesilapan tersebut. Kita kena periksa semula SOP di pihak sana (yang menyiarkan),” katanya.

Ditanya adakah pengumuman tarikh Hari Raya Haji perlu dibuat semula, Othman berkata, ia tidak perlu dilakukan secara rasmi di saluran televisyen.

“Ini kerana masyarakat tahu kalau 1 Zulhijjah hari ini (Rabu) bermakna 10 Zulhijjah akan jatuh pada Jumaat,” ujar Othman.

Kekeliruan mengenai tarikh Hari Raya Haji timbul selepas terdapat kesilapan pengumuman tarikh yang dibuat oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman menerusi satu saluran televisyen, sehingga tular di media sosial.

Beliau mengumumkan 1 Zulhijjah 1438 Hijrah pada 24 Ogos menjadikan Hari Raya Haji 10 Zulhijjah di Malaysia ditetapkan pada Sabtu, 2 September. – THE STAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.