Harap Semua Bertenang – Norza

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meminta semua peminat badminton negara bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai masa depan Datuk Lee Chong Wei yang tumpas di pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland semalam.

Menurutnya, semua orang tahu bahawa Chong Wei adalah legenda badminton dunia dan sudah menyumbangkan banyak kejayaan buat negara.

“Kita menyeru semua agar tidak membuat sebarang spekulasi dan bertenang. Kita akan berbincang dengan Chong Wei untuk perancangan seterusnya dan jangan memberi tekanan kepadanya. Saya juga mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengakui Chong Wei adalah pemain terbaik negara dan menghormati segala keputusan yang akan dibuatnya,” kata Norza.

Jelasnya, beliau ada bercakap dengan Chong Wei kelmarin dan mengakui bahawa BAM serta peminat berduka cita dengan apa yang berlaku terhadap bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Sudah tentu Chong Wei lebih berdukacita, kecewa dan sedih. Bagaimanapun, saya cuba menenangkan dia dan berkata itu adalah adat permainan. Dia sudah cuba yang terbaik.

“Saya juga mengharapkan agar dia bertenang dan selepas pulang nanti barulah kita bincang semula mengenai perancangan untuk seterusnya,” kata Norza yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir berpasukan di Arena Axiata.

Beliau juga sempat berinteraksi dengan Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Negara, Datuk Misbun Sidek yang mengakui bahawa permainan Chong Wei sangat berbeza dan perlahan.

“Saya kata kepadanya kita akan melakukan ‘post mortem’ apabila mereka pulang nanti,” kata Norza.

Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan kedua kalah 19-21, 24-22, 17-21 kepada Brice Leverdez dari Perancis, seterusnya menggagalkan impiannya untuk meraih kejuaraan sulung Kejohanan Dunia. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.