Idris Cadang Felda Model Transformasi Sektor Pertanian Sarawak

KUCHING – Sarawak perlu memanfaatkan kawasan tanahnya yang luas terutamanya di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dalam usaha mentransformasi sektor pertanian negeri ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Datuk Seri Idris Jala.

Idris berkata Sarawak perlu melibatkan diri dalam perladangan berskala besar dan beliau mencadangkan agar negeri ini mengguna pakai model Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi projek pembangunan tanahnya.

“Felda selaku sebuah model agraria sememangnya amat berjaya dan tidak dinafikan, agensi ini berjaya meningkatkan kehidupan banyak petani miskin dari kawasan mundur selama bertahun-tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa mengenai Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.

Beliau berkata Sarawak perlu bergerak daripada pertanian sara diri kecil-kecilan kepada perladangan berskala lebih besar, dan menambah bahawa, menerusi perladangan kontrak, petani akan terus memiliki tanah dan memperoleh hasil paling lumayan daripada tanah yang diusahakan dengan pengurusan yang lebih baik.

Ditanya tentang pelan transformasi kerajaan Sarawak bagi sektor pertaniannya, Idris berkata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah pun menyatakan wawasan beliau dengan jelas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.