Joo Ven Menyinar Singkirkan Singapura

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan, Soong Joo Ven muncul wira buat skuad berpasukan lelaki negara apabila menghadiahkan mata kemenangan untuk mengalahkan Singapura 3-0 dalam saingan separuh akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Joo Ven yang turun selaku perseorangan kedua berjaya melaksanakan tugas dengan baik walaupun kalah di set pertama, apabila menundukkan Loh Kean Yew 9-21, 21-17, 21-18 bagi membawa Malaysia ke penentuan emas menentang Indonesia, esok.

“Pada set pertama memang saya bermain dengan perlahan, Kean Yew pula banyak melakukan serangan bertali-arus. Saya agak bergelut untuk menyesuaikan diri pada aksi pembukaan.

“Bagaimanapun di set kedua dan ketiga, saya berjaya meningkatkan tahap permainan, sebelum melaksanakan tugas meraih mata kemenangan,” katanya.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur ini juga mengakui dia sangat ghairah untuk membawa pasukan lelaki negara ke perlawanan akhir, seterusnya melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu sekadar meraih gangsa.

“Anda dapat lihat sendiri bagaimana keghairahan, kegembiraan dan prestasi saya hari ini. Saya harap kami mampu melakukan kejutan menumpaskan pasukan pilihan Indonesia,” katanya.

Dalam aksi separuh akhir itu, perseorangan pertama, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyumbang mata sulung, walaupun di set pertama dia tumpas sebelum bangkit mencatat kemenangan 19-21, 21-17, 21-10.

Strategi Singapura dengan memecahkan gandingan beregu lelaki apabila membariskan Terry Hee-Loh Kean Hean dilihat memakan diri apabila pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menang 21-10, 20-22, 21-15 dalam tempoh 44 minit.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara berpasukan lelaki ialah di Manila 2005, apabila skuad yang dibarisi Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Wong Choong Han, Kuan Beng Hong, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat.

Sementara itu, Indonesia yang juga penyandang pingat emas menyingkirkan Thailand 3-1 untuk ke mara ke perlawanan akhir. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.