Makin Ramai Bayar Balik Pinjaman PTPTN

LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengutip sebanyak RM2.3 bilion bayaran balik pinjaman sehingga Jun lalu, iaitu 60 peratus daripada sasaran RM4 bilion untuk tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pihaknya yakin mampu mencapai sasaran kutipan pada tahun ini berikutan trend balik pinjaman yang semakin meningkat.

Tahun lalu, PTPTN menyasarkan kutipan balik bayaran RM2 bilion tetapi berjaya mengutip RM3.4 bilion.

“Alhamdulillah, setakat Jun lalu, kutipan kita sudah mencecah 60 peratus daripada sasaran iaitu RM2.3 bilion berjaya dikutip semula.

“Kita lihat peminjam PTPTN sudah ramai nak membayar dan bilangannya bertambah dan kita yakin situasi peminjam bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Jom Bantu Rakyat di pekarangan Pusat Siber Kampung Luat, di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata, antara faktor menyumbang kepada peningkatan kutipan adalah kemudahan pembayaran balik dan pelbagai tawaran insentif.

“Pemberian diskaun 15 peratus untuk baki hutang bagi penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran membuatkan ramai peminjam membuat bayaran balik.

“Malah, diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau ‘direct debit’ mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan juga antara punca ramai peminjam mengambil peluang sehingga 31 Disember depan termasuk kempen berterusan PTPTN,” katanya.

Terdahulu, Shamsul Anuar menyampaikan wang pendahuluan PTPTN kepada 273 penerima dari empat kawasan Parlimen iaitu Lenggong, Gerik, Padang Rengas dan Kuala Kangsar bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Beliau turut menyampaikan bantuan khas cermin mata kepada 18 penerima dari Mukim Temelong dan barangan keperluan harian kepada 90 penerima miskin dan kurang berkemampuan.

“Bantuan ini kita beri secara berperingkat dan minggu depan kita ada program yang sama di tempat lain. Kita bantu bukan bermusim, kita bantu rakyat setiap masa,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.