Suami Cemburu Lakonan Intim Ezzaty?

KUALA LUMPUR: Ketika malam gala filem Kau Takdirku diadakan di Mutiara Damansara, baru-baru ini, pelakon wanita utamanya, Ezzaty Abdullah, dilihat hadir tanpa ditemani suami, Azwan Kombos.

Ketidakhadiran aktor terbabit untuk memberikan sokongan kepada isteri yang muncul kali pertama memegang watak utama di layar perak, selain dirinya sendiri kini hamil enam bulan, tentu saja menimbulkan tanda tanya.

Apakah Ezzaty enggan membenarkan suaminya menemani beliau pada majlis tayangan terbabit berikutan filem arahan Jason Chong terbitan Grand Brilliance itu turut memaparkan adegan intim mesra bersama rakan gandingan, Bront Palarae?

Ezzaty bagaimanapun menjelaskan, ketiadaan Azwan adalah bersebab.

“Jika diikutkan, saya memang mahu dia ada bersama untuk memberikan sokongan. Apatah lagi inilah kali pertama saya ditampilkan sebagai teraju utama.

“Namun apakan daya, pada malam gala berlangsung, suami masih dalam penerbangan dari Sabah ke ibu kota selepas menjalani penggambaran di sana.

“Dia tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 malam, ketika majlis sudah hampir tamat. Justeru, dia ambil keputusan untuk pulang saja ke rumah,” katanya.

Menurut Ezzaty, sejak awal lagi beliau sudah memaklumkan suaminya mengenai kewujudan babak mesra dalam filem berkenaan.

“Dia ada berseloroh dengan saya, dirinya gembira tidak dapat hadir ke malam gala berkenaan kerana takut cemburu menonton babak intim saya dengan pelakon lain.

“Bagaimanapun, jika diikutkan, babak intim dalam filem ini tidaklah keterlaluan. Penggambaran filem ini juga dilakukan ketika saya belum berkahwin dengannya. Kau Takdirku agak lambat ditayangkan, iaitu selepas tiga tahun ia dirakam,” katanya kepada BH Online.

Ujar Ezzaty, suaminya akan tetap menonton filem berkenaan selepas ia mula memasuki panggung di negara ini, 7 September depan.

Aktres ini sendiri mengakui tidak sabar dan teruja menanti reaksi penonton serta peminat terhadap filem terbabit.

“Secara peribadi, walaupun filem ini sudah tiga tahun siap, saya rasa ia masih relevan untuk tontonan sekarang. Jason selaku pengarah juga wajar dipuji. Kerja arahan dan sinematografinya sangat menarik.

“Di kalangan pelakon pula, tidak dinafikan ada perubahan pada fizikal mereka. Remy Ishak contohnya kini sudah mengenakan imej berjambang dan kurus. Sedangkan ketika penggambaran, dia tampil kemas tanpa jambang.

“Bront sendiri kini berambut pendek, sedangkan ketika menjalani penggambaran filem ini, rambutnya panjang. Seorang lagi pelakon, Aisya Hasnaa, pula sekarang sudah bertudung,” katanya.

Tambah Ezzaty, filem berkenaan agak berbeza daripada naskhah cinta lain, sama ada untuk tayangan layar lebar mahupun kecil.

“Jalan ceritanya memang tak boleh diagak. Walaupun filem ini serius, ada juga babak lawak ditonjolkan. Malah, ketika malam gala berlangsung, ada lakonan saya yang dirasakan tidak lawak pun, tetapi tetap mengundang gelak tawa penonton,” katanya mengenai filem yang turut dibintangi Megan Tan dan Kartina Aziz. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.