KL2017: Malaysia Kenduri Gol Belasah Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara terus berpesta gol pada temasya Sukan SEA kali ini apabila membenam cabaran Thailand 6-0 dalam aksi kedua liga sepusingan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dengan kemenangan ini, Malaysia melonjak ke tangga teratas liga dengan mengumpul enam mata daripada dua aksi – mengatasi Singapura dan Myanmar yang berkongsi empat mata.

Faizal Saari begitu menyengat apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-14 dan ke-54 untuk gol ketujuhnya pada temasya dwitahunan ini.

Empat lagi gol pasukan ranking ke-12 dunia itu dijaringkan Azri Hassan minit kelapan, Ramadan Rosli (kesembilan, m-59) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-10).

PEMAIN Malaysia, Faiz Jali (kanan) dihadang pemainThailand ketika acara Hoki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Skuad Malaysian Tigers bagaimanapun seharusnya mampu menyumbat lebih banyak gol jika tidak kerana aksi kurang bertenaga di suku kedua dan ketiga, apabila gagal menembusi benteng lawan di ranking ke-59 dunia itu.

Malah, pujian harus diberikan kepada penjaga gol Thailand, Wanchalerm Boonbut yang menafikan berdozen percubaan berbahaya skuad bimbingan Stephen Van Huizen yang menguasai hampir 90 peratus perlawanan.

Dan penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil pastinya menjadi antara individu yang paling kecewa apabila terus ketandusan gol selepas dua perlawanan termasuk ketika membelasah Indonesia 18-1, semalam.

Van Huizen bagaimanapun tidak bimbang dengan situasi yang menimpa Tengku Ahmad Tajuddin kerana hanya menjadikan Sukan SEA sebagai persiapan untuk saingan ke Piala Asia, Oktober ini.

“Saya tidak begitu risaukan perkara ini, memang ada dua atau tiga percubaan yang gagal disempurnakannya tetapi tidak mengapa kerana kita ada Faizal, Ramadan, dan beberapa pemain lain yang dapat menjaringkan gol,” katanya.

Ditanya berhubung prestasi anak-anak buahnya sebentar tadi, bekas pemain tengah negara itu berkata: “Bukan satu aksi yang baik, tetapi kami tahu apabila datang ke kejohanan seperti ini kebanyakan pasukan akan bertahan.” – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.