Negeri Lain Tunggu Giliran – SPRM

KUALA LUMPUR: Selepas Pulau Pinang dan Selangor, lebih banyak negeri boleh dijangkakan akan berada dalam pemerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia telah ‘panas’ sejak kebelakangan ini. Negeri mana pula selepas ini? Mari kita tunggu dan lihat,” jelas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad (gambar) semasa ucapannya pada pelancaran drama, Bahara Emas, yang akan disiarkan bermula Oktober hingga Disember ini di seluruh negara sempena sambutan ulang tahun ke-50 suruhanjaya itu.

Beliau berkata, lebih banyak penangkapan dan tuduhan akan dibuat sehingga hujung tahun ini bagi menentang rasuah.

Mengenai tuduhan bahawa tindakan SPRM terhadap pihak tertentu adalah ‘dirancang’, Dzulkifli menegaskan bahawa mereka tidak berat sebelah dalam menjalankan siasatan.

“Kami tidak memilih sasaran kami. Sesiapa sahaja, sama ada mereka ahli politik, penjawat awam atau tokoh korporat, kami akan mengambil tindakan.

“Sebaik sahaja laporan diterima dan kami telah menentukan bahawa ia mempunyai asas yang kukuh, kami akan melakukan serbuan dan merampas dokumen.

“Apabila bukti sudah mencukupi, barulah kami akan membuat tangkapan,” katanya sambil menambah bahawa perancangan yang betul perlu dilakukan sebelum pegawai-pegawainya bergerak ‘pada masa yang tepat’.

Terdahulu dalam ucapannya, Dzulkifli mendedahkan ilhamnya untuk membuat tangkapan mingguan datang daripada filem aksi India pada 2015 iaitu Gabbar Is Back yang menggambarkan misi protagonis untuk membanteras pegawai rasuah.

“Kami mahu memberi kuasa kepada rakyat untuk berdiri dan mengatakan tidak kepada rasuah.

“Mengapa? Kerana SPRM ada di sini dengan anda.

“Kami adalah suara dan jentera rakyat,” katanya.

Memetik satu kes di Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran dan satu lagi di Pahang berhubung perlombongan bauksit haram, Dzulkifli berkata kes-kes tersebut berlaku kerana isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau menegaskan bahawa mereka yang sangat terjejas oleh rasuah adalah rakyat dan bukannya mereka yang mempunyai kuasa. – THE STAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.