Pesawat Ringan Mendarat Cemas Di KKIA

KOTA KINABALU: Sebuah pesawat ringan dinaiki seorang juruterbang dan dua penumpang melakukan pendaratan cemas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Kota Kinabalu, tengah hari tadi.

Juruterbang dan penumpangnya, semuanya berusia 30-an bagaimanapun tidak cedera.

Difahamkan, pesawat terbabit sebelum itu berlepas dari KKIA untuk ke Bangkok, Thailand sebelum terpaksa berpatah balik dipercayai selepas mengalami masalah enjin.

Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) KKIA, Sunif Naiman, berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menerima laporan kejadian itu pada jam 1.05 tengah hari.

Beliau berkata, susulan itu, pasukan keselamatan lain seperti polis, bomba dan ambulans kemudiannya dikerahkan ke landasan itu untuk bantuan kecemasan.

“Bagaimanapun, pesawat ringan itu mendarat dengan selamat kira-kira jam 1.34 tengah hari tanpa sebarang insiden tidak diingini, “katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, pesawat itu dipercayai mengalami kerosakan enjin, namun siasatan lanjut masih dilakukan.

“Operasi kecemasan itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.38 tengah hari, ” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.