Siasatan Pembelian Hotel Di London Perlu Keterangan Saksi Di Luar Negara

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses untuk mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi di luar negara berhubung siasatan kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.

Beliau berkata keperluan untuk mendapatkan keterangan saksi-saksi di luar negara yang terdiri daripada warga Malaysia dan warga asing menyebabkan siasatan kes pembelian hotel di London tidak dapat disiapkan dalam waktu terdekat.

“SPRM perlu pergi ke sana (London). Ini akan melibatkan bantuan bersama. SPRM tidak boleh terus saja pergi ke negara lain untuk menyiasat. Jadi kami perlu memohon melalui AG (Peguam Negara) dan AG kita akan berhubung dengan AG mereka (United Kingdom),” katanya kepada pemberita selepas majlis menaikkan bendera bersempena perpindahan operasi SPRM di bangunan baharu di Presint 7 di sini hari ini.

Mengenai siasatan kes pembelian hotel di Kuching, Azam berkata siasatan tersebut dijangka siap dalam waktu terdekat sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya yang berhak menentukan sama ada kes itu akan didakwa atau sebaliknya.

FIC ialah anak syarikat Felda yang terlibat dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan.

SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada STG60 juta (RM330 juta) pada 16 Dis 2014.

SPRM juga dilaporkan memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching, Sarawak susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.