Teknologi UAV Mampu Bantu Kawal Banjir

KOTA BHARU – Teknologi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dijangka mampu membantu mengawal banjir kata Presiden Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) Datuk Sr Dr Mohd Zaid Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan bentuk muka bumi hasil pelan pemetaan awal yang dibuat menggunakan UAV, alat itu mampu membuat jangkaan awal terhadap kawasan takungan air serta legeh sungai di kawasan hulu.

Selain itu, pihaknya turut menggunakan teknik persekitaran maritim bagi mengukur paras air sungai sebelum dan semasa banjir berlaku.

“Pada hujung tahun lepas, kita dah buat pemetaan menggunakan teknik ini di Sungai Aring dan Sungai Lebir di Gua Musang dan datanya telah diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.

“Hasil data tersebut, JPS boleh membuat perancangan sama ada untuk mendalamkan sungai atau membina benteng bagi program tebatan banjir,” katanya kepada pemberita selepas Demostrasi dan Pameran UAV Sempena Workshop PEJUTA 2017 di Padang Perdana di sini hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.