Ada Dalang Burukkan Nama Kementerian Pendidikan

KULIM: Kementerian Pendidikan yakin penerbitan buku kontroversi mengenai Perdana Menteri Malaysia, didalangi pihak tertentu bertujuan memburukkan kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau kesal dengan viral mengenai isu buku kerja yang diubah suai itu, yang menunjukkan seolah-olah ia dilakukan kementeriannya.

“Ini satu kerja gila dilakukan sesetengah pihak dan ia bersifat strategis. Pada saya, ia sengaja dibuat orang tertentu untuk burukkan kementerian.

“Kita di Kementerian Pendidikan ada jawatankuasa semakan yang profesional untuk menapis subjek khususnya mengenai sejarah berkaitan bekas Perdana Menteri.

“Pada saya, ini sengaja dibuat orang tertentu untuk burukkan kementerian.

“Saya tak tahu siapa yang buat dan saya tak nak tuduh sesiapa, tetapi biarlah polis siasat orang yang buat itu untuk memberi keadilan kepada pegawai Kementerian Pendidikan yang bertungkus-lumus memastikan perkara sebegini tidak berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian Kementerian Pendidikan dalam isu ini, beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mencari punca dan memanggil pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas buku kerja itu.

Kementerian Pendidikan telah membuat laporan polis terhadap dua pihak susulan dakwaan cuba mengubah sejarah dengan menyingkirkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad daripada buku teks sekolah.

Laporan itu dibuat terhadap penerbit buku yang bertanggungjawab mengeluarkan gambar Dr Mahathir daripada kandungan naskhah Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3.

Tindakan sama turut dibuat terhadap pihak yang memulakan penyebaran maklumat palsu berkenaan sehingga menjadi viral di media sosial. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.