Dr Mun’im Sirry Cuba Sebar Idea Liberal Sesat

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyifatkan kenyataan kakitangan University of Notre Dame, Dr Mun’im Sirry yang mendakwa al-Quran tidak relevan dan diturunkan pada era Mesopotamia sebagai satu percubaan untuk menyebarkan idea liberal yang sesat.

Difahamkan, Dr Mun’im membuat kenyataan berkenaan pada sesi dialog ‘Scriptural Polemics: The Quran and Other Religions’ anjuran dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Renaissance Front (IRF) dan G25 di sini pada 20 ogos lalu.

Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, berkata tindakan individu berkenaan itu juga sangat bahaya dan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Ini suatu kenyataan yang salah dan bercanggah dengan ajaran Islam.

“Beliau juga seolah-olah cuba untuk mempromosi tafsiran baru kepada kebenaran kitab suci al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Othman berharap Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi berkaitan membuat satu penyelarasan berhubung isu berbangkit supaya tiada pihak sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang menyalahi undang-undang dan amalan Islam yang diamalkan di negara ini.

Katanya, JAKIM juga akan mendapatkan penjelasan daripada penganjur dan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Semua pihak perlu ingat bahawa negara ini majoritinya adalah umat Islam yang berpegang teguh kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kedudukan Islam dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, kita juga perlu sama-sama menjaga keharmonian beragama di samping memelihara kedaulatan agama Islam di Malaysia,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.