Jalan Ditutup Sempena Penutupan KL2017, Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Jalan Merah Cagar dan Jalan Putra di Bukit Jalil akan ditutup pada Rabu depan (30 Ogos) bersempena acara penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur Sports City (Stadium Nasional Bukit Jalil) di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata penutupan itu bermula pada 6 pagi hingga selesai acara di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijangka akan dibanjiri lebih 100,000 pengunjung.

“Orang awam yang ingin berkunjung ke Stadium Nasional pada hari berkenaan disaran menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sementara itu Amar Singh berkata sebanyak 19 jalan utama di sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat mulai esok hingga Isnin mulai 6 pagi hingga 1 tengah hari untuk memberi laluan kepada raptai Hari Kebangsaan dan seterusnya sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Beliau berkata penutupan itu melibatkan Jalan Travers/Jalan Damansara (Muzium Negara); Lebuhraya Sultan Iskandar (Mahameru) /Jalan Damansara (Carcosa); Lebuhraya Sultan Iskandar (Mahameru)/Jalan Damansara (Susur Muzium Negara); Bulatan Hishamuddin/Jalan Lembah (Masjid Negara); Jalan Perdana/Jalan Lembah; Jalan Kinabalu/Bulatan Hishamuddin (Dayabumi); Jalan Kinabalu/Jalan Hishamuddin (Susur Bukit Aman) dan Jalan Lembah/Jalan Cenderasari. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.