‘Kapcai’ Bawa Suami Isteri Kibar Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR: London menjadi pilihan mengibarkan Jalur Gemilang bagi sepasang suami isteri yang menunggang motosikal ‘kapcai’ dalam misi menjelajah 23 negara sejak April lepas.

Bekas pekerja bank Mohd Alfishahrin Zakaria, 31, dan Diana Latief, 30, memilih London berikutan kemerdekaan Malaysia diperoleh hasil pemeteraian perjanjian di kota raya itu.

“Selain itu, saya berhasrat mengibarkan Jalur Gemilang di London pada 31 Ogos ini bersempena bulan kemerdekaan negara kita,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Pasangan itu, yang kini berada di Jerman, menjelajah dengan motosikal berkapasiti enjin 150cc di bawah program inspirasi Anak Muda Bebas Dadah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Selangor bermula 28 April lepas.

Mohd Alfishahrin berkata jelajah itu juga adalah sebahagian daripada usahanya mempromosikan program himpunan mega motosikal ‘kapcai’ di Stadium Shah Alam pada 23 September depan.

Menurutnya beliau dan isteri mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjayakan misi itu, yang turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat permotoran antarbangsa seperti GIVI Malaysia, STT SPROCKET dan MYBIKERZ.

“Kami turut mengeluarkan modal sendiri hampir RM40,000 untuk jelajah ini,” katanya.

 

Menceritakan pengalaman merentasi beberapa negara, beliau berkata antara pengalaman yang paling mencabar ialah ketika melalui Chang La di India, iaitu laluan ketiga tertinggi di dunia selain terpaksa berdepan ribut salji.

“Pengalaman berjumpa rakyat pelbagai bangsa dan agama di beberapa negara turut tidak dapat dilupakan,” katanya yang turut bangga membawa nama Malaysia merentas benua.

“Bangga… orang tempatan yang kami temui tidak sangka kami dari Malaysia sebab kebiasaannya jelajah bermotosikal ‘Touring Ride Round The World’ hanya menggunakan motosikal berkuasa besar dan jarang yang datangnya dari Asia Tenggara serta menggunakan kapcai,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Alfishahrin pernah menunggang secara solo ke 1000 Corner Thailand pada 2015 dan menjelajah solo ke tujuh sempadan negara iaitu Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam, Kamboja dan Singapura pada 2016. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.