KL2017: Peluang Terbaik Catat Sejarah Baharu Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara kini mula memasang impian besar untuk mencipta sejarah baharu selaku pemenang sulung acara itu yang dipertandingkan buat kali pertama pada temasya Sukan SEA.

Kapten pasukan, Mohd Najib Abu Hassan mengakui genggaman emas pastinya akan memberikan satu kenangan manis buat skuad negara, tambahan pula kemenangan itu digapai di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang disaksikan penyokong sendiri.

“Saya gembira kerana kita berjaya mengekalkan rekod cemerlang memenangi semua lima perlawanan dan ini akan menjadi motivasi yang terbaik menjelang aksi final esok.

“Kita juga sudah separuh kaki untuk meraih emas dan hanya tinggal Indonesia saja yang menjadi penghalang.

“Jadi saya mengharapkan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan untuk merangkul pingat emas sekali gus membantu sasaran 111 pingat emas buat kontinjen negara,” katanya.

Skuad bimbingan Amin Rahim itu nyata tiada tandingan apabila mencatat 45 gol dan hanya dibolosi dua gol hasil kemenangan 16-0 ke atas Filipina, 15-0 ke atas Vietnam, 4-0 ke atas Thailand, 6-2 ke atas Indonesia dan 4-0 ke atas Singapura.

Mengulas lanjut aksi bertemu Indonesia, pemain berusia 22 tahun itu memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana aksi final sering menjanjikan kejutan.

“Indonesia adalah satu-satunya pasukan yang membolosi gawang kita sepanjang saingan di peringkat kumpulan, jadi saya yakin mereka akan tampil lebih bersedia untuk aksi final nanti.

“Walaupun kami memiliki sedikit kelebihan psikologi kerana pernah menewaskan mereka sebelum tetapi kita tetap perlu berwaspada. Sikap terlalu yakin dikhuatiri akan memakan diri,” katanya.

Malaysia akan bertemu Indonesia pada aksi penentuan pingat emas di Dewan 4, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), jam 6 petang esok. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.