Laksana Usaha Tangani Gejala Negatif Di Sekolah Hotspot

BALIK PULAU – Polis telah mengambil beberapa langkah khas untuk menangani masalah serta membendung gejala negatif di setiap sekolah ‘hotspot’ yang dikenal pasti di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abu berkata pihaknya menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Kementerian Pendidikan telah melaksanakan langkah khas itu supaya kegiatan negatif pelajar tidak terus menular.

“Penyenaraian sekolah ‘hotspot’ itu dibuat hasil perbincangan polis dengan Kementerian Pendidikan pada Jun lepas dan kami mengambil beberapa langkah segera dalam menanganinya bersama guru dan memberi lebih perhatian kepada sekolah yang terlibat itu.

“Sekolah yang tidak disenarai bukan kami tidak beri perhatian cuma lebih kepada yang telah tersenarai agar gejala negatif itu dapat dibendung, dikawal serta dikenal pasti dari awal supaya ia tidak terus menular dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Program Remaja Berwawasan di Kem PLKN White Resort di sini Jumaat.

Program lima hari membabitkan 200 pelajar bermasalah dari 10 sekolah di Pulau Pinang dan Perlis itu dirasmikan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.