Murid Tahun Satu Mati Dipukul Senior

KAPIT: Seorang murid Tahun Satu meninggal dunia selepas dikatakan dipukul senior di asrama sekolah rendah itu, di sini.

Murid lelaki berusia tujuh tahun itu meninggal dunia di Hospital Sibu, pada jam 3.30 petang ini akibat luka dan lebam-lebam di kepala dan badan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal, berkata bapa mangsa menerima panggilan daripada seorang guru sekolah itu di pedalaman Kapit, pada Selasa.

Beliau berkata, petani berusia 35 tahun itu dimaklumkan guru bahawa anaknya tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke hospital.

“Pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan lebam di kepala dan badan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia hari ini, dua hari selepas dimasukkan ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, polis menahan seorang pelajar berusia 12 tahun dari sekolah itu kira-kira jam 11 pagi tadi.

Amer berkata, siasatan awal mendapati suspek menumbuk dan menendang mangsa beberapa kali.

“Pemeriksaan awal juga menunjukkan suspek bertindak agresif selepas mangsa dikatakan mengejek nama bapanya.

“Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Bagaimanapun katanya, suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya direkodkan kerana dia masih di bawah umur.

“Kami juga akan memanggil guru besar dan guru sekolah untuk membantu siasatan kes itu.

“Polis juga sudah menubuhkan sebuah pasukan petugas diketuai Ketua Polis Daerah Kapit (Deputi Superintendan Freddy Bian) untuk menyiasat kes ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.