Tunggu Laporan Penuh Kes Pelajar Mati Dipukul

KULIM: Kementerian Pendidikan menunggu laporan penuh mengenai kes kematian seorang murid Tahun Satu akibat dipukul senior di sebuah sekolah di Kapit, Sarawak untuk menentukan tindakan lanjut.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu, yang kini dalam siasatan polis.

“Saya belum terima laporan (mengenai kes itu) dan kita serah kepada polis untuk siasat,” katanya ringkas selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Serai, di sini.

Malam tadi, BH Online melaporkan murid berusia tujuh tahun itu meninggal dunia di Hospital Sibu jam 3.30 petang semalam, akibat luka dan lebam di kepala dan badan selepas dua hari mangsa dimasukkan ke hospital.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal, mengesahkan kejadian itu dan seorang pelajar berusia 12 tahun dari sekolah sama turut ditahan kira-kira jam 11 malam tadi untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.