Raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Lancar Meskipun Hujan

KUALA LUMPUR – Raptai hari kedua acara perbarisan dan persembahan sambutan Hari Kemerdekaan 2017 di Dataran Merdeka berjalan lancar meskipun cuaca mendung dan hujan sejak awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli berkata walaupun acara raptai bermula lewat berbanding jadual asal iaitu 7 pagi disebabkan hujan, ia tidak menghalang semangat patriotisme dan keceriaan terus dipancar oleh peserta terlibat.

“Oleh kerana lantai untuk persembahan licin selepas hujan, kami sentiasa mengingatkan peserta untuk berhati-hati terutamanya persembahan yang melibatkan kawad dan lari.

“Raptai bermula agak lewat iaitu 9 pagi kerana menunggu hujan reda dan bagi mengelak peserta daripada jatuh sakit ketika hari sambutan pada 31 Ogos ini,” katanya kepada Bernama selepas raptai perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka hari ini.

Katanya raptai penuh pada esok (27 Ogos) dan Selasa (29 Ogos) ini.


“Pada tahun ini kira-kira 17,000 peserta daripada pelbagai agensi dan umur menyertai perbarisan itu,\” katanya.

Norliza berkata pihaknya menyasarkan penyertaan antara 400,000 hingga 500,000 pengunjung tahun ini bagi memeriahkan sambutan tahunan itu.

Beliau berkata pengunjung dialu-alukan hadir pada 31 Ogos ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dengan memakai pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih dan biru.

Terdapat 10 segmen persembahan dan perarakan iaitu kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan segmen rakyat bersepadu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.