KL2017: Saya Bukan Superstar – Thanabalan

SHAH ALAM: Kehadiran wira Malaysia N Thanabalan di sebuah restoran awal pagi tadi mencetuskan suasana riuh rendah dengan peminat dan penyokong yang ingin mendekatinya.

Penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu datang ke restoran berkenaan itu bertemu dengan keluarganya selepas tamat perlawanan separuh akhir dengan Indonesia di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran Thanabalan, semua pelanggan yang kebanyakannya datang selepas menyaksikan perlawanan itu bersorak dan mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad muda negara mara ke final.

Pemain Malaysia, N.Thanabalan meraikan kemenangan mara ke perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea KL2017 selepas menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam. – Foto Luqman Hakim Zubir

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya untuk penyokong berswafoto dengan Thanabalan sehinggakan dia tidak sempat duduk.

Bagi pemain berusia 22 tahun itu, dia tidak menganggap dirinya sudah bergelar bintang namun menghargai segala sokongan yang diberikan oleh penyokong.

“Saya terkejut juga bila masuk ke restoran ini, semua orang bersorak, rasa terharu pun ada. Saya datang nak bertemu dengan keluarga saya termasuk mak saya (Thiru Sundari) yang datang dari Seremban ke stadium tadi (semalam).

“Saya masih muda, banyak lagi saya kena belajar. Saya kena berusaha lebih keras untuk lebih berjaya. Saya bersyukur dengan apa yang saya capai ketika ini tapi saya tak anggap diri saya seperti ‘superstar’ (bintang) namun saya hargai segala sokongan yang diberikan,” katanya.

PEMAIN Malaysia, N Thanabalan (tengah) menjaringkan gol hasil tandukannya ketika menentang Indonesia pada perlawanan Separuh Akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam. – Foto Osman Adnan

Kerana keadaan semakin sesak dengan ramai pelanggan mahu bertemu dengannya, Thanabalan terpaksa beredar bersama keluarganya ke tempat lain.

Thanabalan mendapat perhatian selepas menyumbat gol kemenangan ke atas Indonesia untuk membawa Malaysia ke final bertemu Thailand Selasa ini.

N. THANABALAN (tengah) meraikan gol ke atas pasukan Indonesia dalam saingan semi final Sukan SEA 2017. – Foto EPA
SUMBER – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.