Suspek Baling Mercun Di Stadium Diburu

SHAH ALAM: Polis meneliti beberapa gambar bagi mengesan suspek membaling mercun ketika perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA ke-29 (KL2017) antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Difahamkan, mercun dibaling dari kawasan tempat duduk penyokong Malaysia selepas penyerang negara, N Thanabalan, menjaringkan gol pada minit ke-87.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.

“Polis memandang serius isu keselamatan stadium terutama membabitkan keselamatan penonton, pemain dan pegawai bertugas.

“Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, serpihan mercun berkenaan hanya memasuki tepi padang dan jauh dari pemain.

Selepas perlawanan malam tadi, jurulatih Indonesia, Luis Milla Aspas, dalam sidang media mendakwa pemainnya cedera terkena balingan mercun. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.