3 Kampung Dinaiki Air

SIPITANG: Seramai 28 orang, termasuk dua bayi dipindahkan ke dua pusat pemindahan selepas tiga kampung dinaiki air, di sini, pagi tadi.

Tiga kampung yang terjejas adalah Kampung Sungai Tiga, Mesapol Lama dan Naluyan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang bergegas ke lokasi itu sejurus menerima panggilan pada jam 6.57 pagi tadi.

Katanya, operasi pemindahan turut dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) menggunakan tiga kenderaan dan dua bot.

“Semua yang terjejas dipindahkan ke surau Kampung Sungai Tiga dan dewan serba guna Sipitang.

“Jalan menuju ke kampung itu turut terjejas dan tidak boleh dilalui kenderaan kecil,” katanya, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, di Tongod, seramai 10 keluarga terpaksa berpindah ke rumah keluarga masing-masing selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Entilibon Asal.

Banjir dipercayai mula melanda kira-kira jam 1 pagi tadi, susulan pertembungan air pasang dan hujan di ulu Sungai Milian.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Telupid/ Tongod, Amrin Amirun, berkata pihaknya menerima laporan penduduk pada jam 1.18 pagi.

Katanya, tiada pusat pemindahan dibuka berikutan banjir semakin surut dan laluan ke kampung berkenaan sudah boleh dilalui semua jenis kenderaan pagi ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.