Datuk Seri Vida Didenda RM4,800

PETALING JAYA: Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, dihukum denda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah menyiarkan iklan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Majistret Mohd Azali Ibrahim turut memerintahkan Vida selaku orang kena saman (OKS), menjalani tambahan hukuman penjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman Hasmiza, 46, itu didakwa menyiarkan iklan dalam rancangan Jom Singgah berhubung produk Pamoga untuk mempengaruhi pengguna sebagai ubat atau penyembuh bagi merawat kulit melecur, meredakan sakit sendi dan melegakan sakit lutut seperti yang dinyatakan dalam jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956), tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, di sini, antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari, pada 18 Julai 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(b) akta, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.