Peneroka Muafakat Kembali Bersama FELDA Kerana Terjamin

SUNGKAI – 1,000 peneroka dari tanah rancangan di bawah FELDA Wilayah Trolak di negeri Perak kembali bermuafakat dengan FELDA kerana sedar kehidupan mereka sebagai peneroka terjamin jika kekal di bawah pentadbiran organisasi sawit terbesar Malaysia ini.

Seramai tujuh peneroka yang mewakili 1,000 peneroka yang lain telah menghantar borang permuafakatan bersama FELDA semula dalam Majlis Penyerahan Cek Insentif Khas Peneroka bagi negeri Perak di Dewan Felda Jaya, Trolak, semalam.

Bagi peneroka Muhammad Johari Kamarudin dari FELDA Besout 2, beliau sedar FELDA mampu menyelesaikan masalah pengurusan hasil buah sawit yang dihasilkan peneroka selepas ‘lari’ (keluar dari FELDA) sejak bulan Januari.

Pembayaran hasil seminggu sekali kepada para peneroka dilihat oleh Muhammad Johari sebagai jalan penyelesaian yang terbaik dibuat FELDA demi kelangsungan hidup peneroka-peneroka FELDA.

“Sekarang, FELDA sudah sangat bagus. Pembayaran dibuat seminggu sekali bermula bulan September itu menyenangkan. Saya bersyukur kerana FELDA menyelesaikan masalah peneroka yang ada dahulu dan ketika ini.

“Saya akan tetap setia dengan FELDA walaupun tindakan keluar dari FELDA sekejap menyebabkan saya kerugiaan tidak menerima insentif duit raya misalnya, saya melepas. Tapi tidak mengapa, asalkan FELDA memberikan perkara yang terbaik kepada saya, itu sudah cukup,” kata Muhammad Johari ketika ditemu bual pemberita.

Muhamad Daud Kasim (FELDA Besout 5) pula berkata, dia sedar keputusannya adalah salah setelah mengalami kesusahan menguruskan perbelanjaan kebun sendiri yang selama ini ditanggung oleh FELDA selepas keluar dari FELDA.

Dia terpaksa berusaha sendiri mencari perbelanjaan kebun dan mencari pembeli hasil sawit meski pun pulangan yang diterima semula tidak berbaloi.

“Apabila keluar dari FELDA, FELDA tidak akan menyara perbelanjaan kebun (baja, menuai, pengangkutan), saya perlu keluar duit sendiri. FELDA memberikan jalan penyelesaian (pembayaran seminggu sekali) yang terbaik kepada peneroka, membuka mata saya. Saya ambil peluang kembali semula kepada FELDA.

“Pada saya, saya mesti patuh dengan FELDA walaupun nama tanah dan geran adalah nama saya. Jadi, saya berterima kasih kepada FELDA dan bersyukur FELDA terima saya semula,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Muhammad Hassan Harus dari FELDA Trolak Selatan melihat kesusahan kehidupan peneroka lain yang tidak bekerjasama dengan FELDA membuatkan dirinya berpatah balik ke FELDA.

“Saya tengok peneroka-peneroka yang tidak bekerjasama dan menghantar hasil kepada FELDA, menjadi masalah dalam kehidupan mereka untuk menanggung keluarga mereka. Dan ia juga menjadi masalah di masa hadapan.

“Pengurusan penjualan hasil bila diserah kepada FELDA, semua perbelanjaan dijamin oleh FELDA, saya tidak perlu risau lagi. Walaupun ada masalah kecil, itu perkara biasa dan saya yakin FELDA akan lebih berjaya,” beritahu Muhammad Hassan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini memberi peluang kepada peneroka-peneroka untuk kembali bermuafakat bersama FELDA ketika sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya, 23 Julai lalu.

Najib berkata atas nawaitu (niat) yang mulia dan semangat permuafakatan, buat pertama kalinya, beliau mengumumkan akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada FELDA dan peneroka yang menyaman FELDA, untuk kembali bermuafakat bersama FELDA.

Kembali bermuafakat bersama FELDA ini adalah bagi tempoh enam bulan, bermula Ogos 2017 dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan FELDA.

Najib berkata bagi peneroka yang kembali bermufakat nanti, mereka layak untuk menerima enam insentif yang diumumkan dalam sambutan hari peneroka tersebut bermula Februari 2018.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.