Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Ferrari

GOMBAK: Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah Ferrari F430 Scuderia yang dipercayai gagal dikawal lalu terbabas di Kilometer 27.4 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.45 pagi, kereta mewah dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Ampang sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Ia kemudian merempuh motosikal di hadapannya.

Rempuhan menyebabkan T Desmond Daniel, 29, yang menunggang motosikal Honda EX5 bersendirian, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin, berkata pemandu Ferrari F430 Scuderia yang memandu berseorangan, cedera parah akibat nahas itu.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan manakala mayat Desmond Daniel turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

“Ketika kemalangan, cuaca baik manakala jalan raya kering. Lokasi kemalangan adalah lurus dan mempunyai tiga lorong sehala.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada saksi bebas melihat kemalangan itu manakala lokasi kemalangan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.